Kerjaya muzik Hattan

Beliau dilahirkan di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Sebelum bergiat aktif sebagai penyanyi solo Hattan pernah menganggotai Kumpulan FRU dan pernah merakamkan album yang berjudul Kelahiran pada tahun 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo dan telah melahirkan deretan album-album yang mengandungi banyak lagu popular sepanjang zaman. Antara lagu-lagu beliau yang masih menjadi siulan sehingga kini ialah Memburu Rindu, Mahligai Syahdu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Rindu Bertandang Lagi dan Rona-rona Cinta. Beliau juga turut mempopularkan loghat Negeri Sembilan menerusi lagu Biso Bonar.

Karakter vokal yang dimiliki beliau juga unik dan menjadikan beliau salah seorang penyanyi rock lagenda tanahair. Maka tidak hairanlah beliau kerap diberi peluang merakamkan semula lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lain namun dengan cara dan identitinya tersendiri.

Hattan juga dikenali sebagai antara penyanyi yang lantang mempersoalkan kemasukan lagu-lagu artis luar negara yang adakalanya dilihat agak berlebihan dalam industri muzik tempatan. Sikap terus-terang beliau ini agak kurang disenangi beberapa pihak.

Penglibatan dalam program realiti tv

Hattan diberi tugas untuk mendidik protege bernama Alynn dalam rancangan Mentor musim pertama pada tahun 2005. Bagaimanapun Alynn tidak berjaya memasuki peringkat akhir.

Kemudian beliau menjadi pengkritik tetap Akademi Fantasia 2007 dan telah dilantik sebagai pengetua Akademi Fantasia 2014.

Pada tahun 2015 beliau bergandingan bersama Ajak Shiro dalam kumpulan Juri untuk menggantikan Awie sementara waktu di Juara Parodi. Pada peringkat akhir Kumpulan Juri mendapat Tempat Ketiga.